fb fb fb fb fb

Bas singgah-singgah produk pelancongan baharu tarik pengunjung ke Melaka

(Datuk Seri Sulaiman mencuba tempat duduk pemandu selepas merasmikan pelancaran Bas Singgah-Singgah di Melaka Sentral)

MELAKA SENTRAL, 11 MacKerajaan Negeri Melaka menawarkan kepada seluruh penduduk termasuk pelancong perkhidmatan percuma Bas Pelancongan Elektrik Singgah-singgah bermula 11 Mac hingga penghujung Mei depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, perubahan yang dibawakan oleh Panorama Melaka itu merupakan salah satu projek perintis hijau bawah “Green Mobility”.

Beliau berkata, bas pelancongan elektrik singgah-singgah itu turut mempunyai informasi pelancongan selain dilengkapi audio visual pelancongan.

“Bas Singgah-singgah berkonsepkan bas pelancongan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri selain mengaplikasikan teknologi hijau bebas karbon monoksida.

“Projek ini juga merupakan antara projek perintis Hijau bawah Green Mobility dan ia juga merupakan satu daripada elemen dalam Smart Melaka Blueprint 2035,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran bas itu di Melaka Sentral hari ini.

(Perkhidmatan bas pelancongan elektrik itu akan melalui enam hentian di kawasan tumpuan pelancongan dengan laluan sejauh 47 kilometer)

 Sebagai permulaan, sebuah bas disediakan dan akan ditambah sehingga 7 buah bas menjelang akhir tahun ini.

“Perkhidmatan bas itu akan melalui enam hentian di kawasan tumpuan pelancongan iaitu bermula di Melaka Sentral, Zoo Melaka, Quayside, Menara Taming Sari, Muzium Kapal Selam dan Dataran Klebang dengan laluan sejauh 47 kilometer bagi satu pusingan.

“Sebanyak tujuh lagi Bas Singgah-singgah akan beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi memastikan perkhidmatan itu dapat diperluas ke lokasi-lokasi pelancongan,” katanya.

 

Media Baharu