IPOH, 19 Januari - Sebuah bas ekspres dua tingkat terbakar di KM 375.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tanjung Malim pada awal pagi tadi.
17 penumpang dan dua pemandu bagaimanapun dilaporkan selamat apabila berjaya keluar dari bas terbabit sebelum kebakaran merebak.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River menerima panggilan kira-kira pukul 5.19 pagi dan sampai di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian dengan bantuan BBP Tanjung Malim.
"Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian, bas ekspres yang membawa 17 penumpang iaitu 14 lelaki dan tiga wanita itu musnah terbakar kira-kira 80 peratus.
" Kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Sayani berkata operasi tamat sepenuhnya pada 7.23 pagi tadi.
Beliau difahamkan bas berkenaan dalam perjalanan membawa penumpang dari Mersing, Johor ke Kangar, Perlis.