fb fb fb fb fb

Bapa mentua hilang dibawa arus, menantu selamat bot karam di Sungai Bayai

FOTO JBPM SARAWAK

SRI AMAN, 14 September - Seorang lelaki dilaporkan hilang manakala menantunya selamat selepas bot yang dinaiki mereka karam di Sungai Bayai, di sini, pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 10.10 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman digerakkan ke lokasi.

"Pasukan tiba 12 minit kemudian dan mendapati bot berkenaan karam selepas melanggar kayu hanyut ketika dalam perjalanan pulang dari ladang sawit.

"Dalam kejadian itu, seorang mangsa lelaki berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, manakala seorang lagi mangsa yang juga ayah mertuanya dilaporkan hilang dibawa arus," menurut kenyataan JBPM Sarawak.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan di sekitar lokasi mangsa dipercayai hilang.

Bagaimanapun, operasi berdepan cabaran berikutan liputan komunikasi telefon dan Government Integrated Radio Network (GIRN) yang kurang memuaskan di kawasan tersebut.

Setakat ini, operasi mencari masih diteruskan dengan bantuan pihak polis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE