Kementerian Komunikasi jumpa Meta pada 22 September

SEBERANG PERAI, 14 September – Kementerian Komunikasi akan mengadakan perbincangan dengan pihak Meta pada 22 September ini bagi membincangkan isu kandungan haram di platform media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perbincangan itu akan memfokuskan kepada masalah judi dalam talian di Facebook serta penyalahgunaan teknologi deepfake.

“Majoriti kandungan yang diturunkan di Facebook melibatkan aktiviti perjudian dalam talian, termasuk iklan serta hantaran berkaitan judi. Kandungan seumpama itu terlalu mudah ditemui dalam platform berkenaan.

“Aduan berhubung isu ini telah disampaikan sejak awal lagi, namun sekiranya satu iklan judi dibayar menggunakan kad kredit, Facebook sepatutnya mengambil tindakan bukan sahaja menurunkan iklan tersebut tetapi turut menyekat akaun kad kredit yang digunakan untuk membiayainya, memandangkan kandungan itu jelas dilarang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di sini. 

Kerajaan juga mengambil pendekatan dialog konstruktif bertujuan memastikan platform-platform media sosial terus bermanfaat dalam kalangan masyarakat di samping mencegah penjenayah daripada menyalahgunakan ruang digital untuk aktiviti haram.