KUALA LANGAT, 22 Disember - Bantuan Awal Persekolahan ( BAP) diperluas kepada pelajar tingkatan 6 bermula pada Sesi Persekolahan 2025/2026.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata menerusi bantuan itu, sebanyak RM150 diberikan kepada setiap pelajar.
"Peluasan pemberian BAP kepada pelajar tingkatan Enam yang pertama kali dilaksanakan tersebut adalah cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga melakukan persediaan keperluan persekolahan.
"Inisiatif ini juga bukti komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkasakan pendidikan tingkatan 6," kata Fadhlina.
Beliau bercakap kepada media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 SJK(T) Ladang Tumbuk di Kuala Langat dan Perasmian Naik Taraf Dewan Sekolah berkenaan.
Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan 6 dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar bagi sesi persekolahan 2025/2026 melibatkan peruntukan kira-kira RM15 juta.
Agihan BAP kepada pelajar tingkatan 6 sedia ada akan dilaksanakan pada bulan Februari 2025 manakala pelajar tingkatan 6 baharu akan menerima BAP pada bulan Julai 2025.