fb fb fb fb fb

Terbaharu : 112 rumah rosak di Semporna akibat angin kencang

Pihak JBPM membuat pemantauan dan penilaian di kampung yang terlibat

SEMPORNA, 22 Disember- Kira-kira 112 rumah, sebuah masjid dan sebuah surau serta 20 buah kenderaan dilaporkan rosak akibat angin kencang yang melanda perkampungan atas air di Semporna pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Madzlan Sarman memaklumkan, dianggarkan 60 rumah serta sebuah masjid di Kampung Selamat rosak dan 10 rumah rosak di Kampung Seri Aman.

Manakala, 22 rumah rosak di Kampung Sejati serta sembilan rumah serta sebuah surau mengalami kerosakan di Kampung Batu.

"Kami menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.21 pagi dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. Setibanya di lokasi kejadian, pasukan petugas mendapati perkampungan atas air mengalami kerosakan dan ada yang roboh serta berlaku litar pintas (wayar putus) berpunca daripada angin kencang.

"Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa. Pasukan Bomba membuat pemeriksaan di sekitar Kawasan dan mengarahkan penduduk untuk keluar ke kawasan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Madzlan, pemantuan akan dijalankan secara berterusan di kawasan yang terlibat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE