fb fb fb fb fb

Bantuan syarikat telco, Kementerian Komunikasi zahir penghargaan

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 April- Kementerian Komunikasi mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang menawarkan bantuan dan sokongan pemulihan kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights. Antara syarikat telekomunikasi yang terlibat adalah CelcomDigi, Maxis, TM Unifi, U Mobile dan YES.

Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan memaklumkan, sumbangan tersebut membuktikan keprihatinan syarikat telco terhadap kesejahteraan pelanggan yang terkesan, selari dengan nilai ihsan dalam Kerajaan MADANI yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat.

Menurut kementerian, antara bantuan dan sokongan pemulihan yang diberikan adalah pengecualian bayaran perkhidmatan prabayar dan pascabayar bagi tempoh tertentu.

Selain itu, penggantian peralatan dan penukaran kad sim secara percuma kepada pelanggan yang terjejas serta perkhidmatan wi-fi 5G secara percuma di pusat pemindahan sementara (PPS) Putra Heights.

"Penawaran bantuan sokongan dan pemulihan itu adalah mengikut keperluan dari semasa ke semasa dan berbeza mengikut syarikat telco (tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan)", menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai bantuan ini boleh diperolehi dengan mengunjungi kaunter bergerak syarikat telco yang dibuka di PPS, atau menghubungi talian utama syarikat telco yang berkaitan, atau hadir ke mana-mana cawangan telco yang berdekatan.

ROSLINA BINTI DIN