fb fb fb fb fb

Kelantan catat peningkatan 10 kali ganda kes HFMD, wabak di taska paling tinggi

FOTO HIASAN

KOTA BHARU, 9 April- Kelantan merekodkan peningkatan mendadak dalam kes jangkitan Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (HFMD) sebanyak 10 kali ganda sehingga 5 April tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin, sebanyak 4,591 kes telah dilaporkan dalam tempoh berkenaan, dengan majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

Sehingga kini, 68 wabak HFMD dilaporkan di seluruh negeri, dan 43 premis telah diarahkan tutup. Sebanyak 67.6 peratus daripada kes tersebut berlaku di institusi seperti taska, tadika, tabika, dan pra-sekolah, manakala selebihnya melibatkan rumah persendirian.

“Di premis-premis yang kami telah lakukan pemeriksaan, kami telah memberi nasihat kepada pemilik untuk melaksanakan langkah pencegahan termasuk memastikan tidak ada perkongsian barangan penggunaan kanak-kanak tersebut untuk mengelakkan wabak ini terus merebak.

"Kanak-kanak yang bergejala dinasihatkan mendapatkan rawatan segera di klinik,” jelasnya.

Dr. Zaini turut menyatakan bahawa daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah wabak tertinggi dengan 21 kes (31%), diikuti oleh Pasir Mas dengan 11 kes (16%), dan Kuala Krai dengan 9 kes (13%).

Dalam perkembangan lain, Dr. Zaini juga memaklumkan penurunan 2.3 peratus dalam kes demam denggi di Kelantan. Setakat 5 April, 641 kes dilaporkan berbanding 656 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sebanyak 76,998 premis juga telah diperiksa, dan 412 kompaun bernilai lebih RM200,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE