fb fb fb fb fb

Siri serbuan Imigresen Kedah: 19 PATI dicekup

FOTO Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah

ALOR SETAR, 9 April- Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam siri operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah di empat daerah semalam.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi dijalankan hasil risikan serta maklumat awam melibatkan serbuan di beberapa lokasi seperti kedai menjahit, gerai makanan, kilang dan kedai runcit.

Dalam Op Mahir yang dilancarkan di daerah Yan, seramai 30 warga asing diperiksa dan 10 daripada mereka ditahan.

Sementara itu, lima PATI ditahan dalam Op Belanja di Kota Setar, tiga lagi dalam Op Sapu di Pendang, dan seorang ditahan dalam operasi yang sama di Kuala Muda.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Nepal, Thailand, Indonesia dan Pakistan dan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Imigresen Kedah akan terus komited membanteras kehadiran PATI dan memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara berterusan demi keselamatan serta kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan PATI kepada pihak jabatan bagi tindakan segera.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE