fb fb fb fb fb

Bantuan SARA RM100 ringankan beban rakyat

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

PULAU PINANG, 23 Julai – Bantuan tunai one-off RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai langkah positif meringankan beban rakyat, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat juga mengharapkan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan ekonomi lebih mampan.

Ini termasuk dasar yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan serta menyokong pertumbuhan perniagaan.

“Walaupun kerajaan berdepan kekangan kewangan, bantuan ini adalah satu isyarat keprihatinan yang patut dihargai. Namun, kita juga memerlukan dasar lebih menyeluruh yang boleh merangsang ekonomi secara berterusan.

“Saya turut menyeru semua pihak memberi ruang dan masa kepada Perdana Menteri untuk menguruskan cabaran ekonomi semasa dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar mengumumkan bantuan tunai RM100 itu akan disalurkan kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad, bermula 31 Ogos hingga 31 Disember ini.

Bantuan berkenaan boleh digunakan bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 4,100 premis termasuk Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart.

GRACE AISYAH KEDAYAN