fb fb fb fb fb

Bantuan SARA bantu ringankan beban rakyat

Foto BERNAMA

LABUAN, 6 April- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan membantu meringankan beban penerima.

Rata-rata penerima menggunakan bantuan yang disalur bernilai RM50 dan RM100 untuk membeli barangan keperluan harian.

"Saya dapat tahu saya layak menerima bantuan SARA ini selepas semak secara dalam talian. Saya mula terima bantuan ini bermula April ini. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI.

"Saya akan gunakan bantuan ini untuk keperluan keluarga, khususnya untuk belanja dapur dan sebagainya," kata penerima, Wera Suboh.

"Alhamdulillah, saya merupakan penerima SARA bermula tahun ini. Saya tahu mengenai bantuan ini pun daripada ibu bapa saya sendiri, sebab mereka juga penerima SARA.

"SARA memang sangat bagus dan sangat membantu secara langsung golongan B40 dan rakyat yang memerlukan.

"Jadi, saya berharap pada masa akan datang, sumbangan ini dapat dikekalkan, dan kalau boleh ditambah baik lagi supaya dapat membantu meringankan beban rakyat," kata penerima, Mohammad Izuan Isack.

"Seperti beras, minyak, dan keperluan makanan harian di rumah, memang sangat meringankan beban kami sekeluarga. Bersyukurlah kerana Perdana Menteri memberi bantuan SARA ini.

"Harapan saya, bantuan seperti ini dapat diteruskan untuk jangka masa panjang demi membantu rakyat yang memerlukan," kata penerima, Piah Abdullah.

Bantuan SARA dikreditkan setiap bulan melalui Kad Pengenalan (MyKad) kepada semua 700,000 penerima berdaftar di bawah eKasih.

Di Labuan, setakat ini penerima bantuan boleh menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas daripada kategori yang diluluskan di dua pasar raya terpilih.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM