fb fb fb fb fb

Bangunan lebih 100 tahun di Padungan ditutup sementara

Bangunan lebih 100 tahun di Padungan bagai retak menanti belah

KUCHING, 6 April – Sebuah bangunan berusia lebih 100 tahun yang menempatkan sebuah kedai cat di Padungan, di sini, mengalami keruntuhan dinding hadapan awal pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, Tan Min Chai, kejadian dipercayai berlaku apabila kayu rasuk yang menyokong struktur utama bangunan tercabut, sekali gus menyebabkan dinding hadapan bangunan itu runtuh sepenuhnya.

“Pasukan bomba tiba di lokasi dalam tempoh lima minit selepas menerima panggilan kecemasan dan segera mengarahkan semua penghuni di kedua-dua tingkat bangunan itu mengosongkan premis atas faktor keselamatan,” katanya kepada RTM hari ini.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, pihak bomba turut memasang tali sawar-sawar di sekitar kawasan terbabit selepas mendapati terdapat keretakan ketara pada bahagian luar bangunan berkenaan.

Min Chai mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Bangunan berkenaan kini ditutup sementara untuk pemeriksaan struktur secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, beliau memaklumkan insiden tersebut merupakan kejadian kedua dalam tempoh seminggu melibatkan keruntuhan struktur di kawasan Kuching.

“Isnin lalu, sebuah rumah di Kampung Goebilt mengalami keruntuhan lantai selepas kayu rasuk yang menahannya patah akibat reput,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN