fb fb fb fb fb

Bantuan, SAR di Myanmar lambang setia kawan Malaysia dengan negara ASEAN

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SUBANG, 30 Mac- Bantuan kemanusiaan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepada Myanmar menjadi lambang setia kawan antara Malaysia dengan anggota ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan segera dilaksana dengan mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN dan Kepengerusian ASEAN 2025, kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku di Myanmar. Kita mengambil tindakan segera dengan mengatur gerak SMART.

"Kita harap bantuan ini akan mempercepat kumpulan pasukan SAR antarabangsa. Beberapa telah dihantar dan kita bertindak segera bantu rakan kita di Myanmar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelepasan Pasukan SAR SMART NADMA di Pengkalan Udara Subang di sini.

Mengulas mengenai keperluan menambah anggota SMART ke Myanmar Ahmad Zahid memaklumkan perkara itu akan dibincangkan bersama kedutaan Myanmar, seterusnya dikoordinasikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Wisma Putra.

Pasukan SMART dijadualkan berada di Myanmar bagi tempoh tujuh hingga 14 hari.

Sementara itu Ahmad Zahid memaklumkan perbincangan mengenai elaun tambahan kepada petugas SMART ke Myanmar akan dilakukan bersama Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

Perkara berkenaan mengambil kira penugasan ke kawasan bencana yang berlaku menjelang sambutan Aidilfitri.

"Kita ada elaun tetap yang sudah disiapkan melalui prosedur operasi standard (sop) ada, tetapi kebetulan Hari Raya Aidilfitri saya akan mempertimbangkan setelah berbincang dengan Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu pasukan SMART sentiasa bersiap sedia berdepan tugasan mencabar terutama melibatkan bencana alam biarpun berisiko, mereka kekal positif untuk memberi bantuan kemanusiaan dan SAR kepada mangsa gempa bumi di Myanmar.

Anggota SMART Nicholas Petius berkata, penugasan sebagai paramedik dalam operasi di Myanmar memerlukan kesediaan fizikal dan mental.

"Saya sebagai paramedik yang bertugas perlu menyiapkan diri untuk membantu pasukan perubatan. Pasukan kami juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Bencana seperti ini memang di luar jangka dan ia memerlukan kesiapsiagaan anggota terlibat. Saya bersemangat dan komited untuk menyertai misi ini," katanya.

Bagi Johaniff Jaafar, dia mengharapkan kerjasama baik diterima daripada pihak Myanmar sepanjang melakukan tugasan untuk memastikan kelancaran setiap bantuan.

"Kita sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan. Alhamdulillah saya dipanggil untuk menyertai misi kedua untuk Myanmar.

"Saya harap keadaan di sana tidak teruk seperti sebelum ini. Saya juga berharap agar kerjasama daripada pihak Myanmar dapat diberikan kepada Malaysia," katanya.

Avlyanie Moidi pula menyifatkan latihan efisien dan latihan semasa akan membantu anggota dalam melaksanakan operasi yang disertai.

"Sebelum ini saya juga pernah menyertai operasi sebagai pasukan SMART, jadi ia memerlukan persediaan mental dan fizikal selain latihan efisien.

"Kami juga sudah dilatih untuk berdepan dengan kes-kes seperti ini. Jadi tiada masalah untuk saya untuk mengaplikasikan latihan dan ilmu yang diperolehi ketika berada di lapangan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI