KUALA LUMPUR, 28 Julai - Kerajaan terus komited menjaga kebajikan masyarakat luar bandar dengan pengumuman Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2025 yang melibatkan peruntukan besar berjumlah RM264.91 juta.
Fokus bantuan bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah menghadapi kesukaran ketika musim hujan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semasa menyampaikan ucapan di Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2024, di sini hari ini.
“Saya percaya bahawa BMT ini bukan sekadar pelaburan untuk menyokong satu cabang ekonomi negara. Lebih dari itu, ia adalah bentuk penghormatan kepada keringat para pekebun kecil, yang saban hari memastikan industri ini kekal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara,” tegas beliau.
BMT 2025 dijangka memanfaatkan seramai lebih 330,000 penerima melibatkan pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara, termasuk di bawah seliaan RISDA, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Menurut beliau, bantuan ini tidak harus dilihat semata-mata sebagai keperluan kewangan, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pekebun kecil yang terus menjadi tulang belakang industri komoditi negara.
“BMT adalah bentuk penghormatan terhadap keringat mereka yang saban hari memastikan industri getah kekal menjadi pemangkin ekonomi negara, meskipun berdepan cabaran cuaca dan ketidaktentuan pasaran,” tambahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Permohonan BMT 2025 telah dibuka sehingga 30 September 2025. Sehubungan itu, pekebun kecil getah diseru agar segera melayari Portal Pekebun Kecil RISDA atau mengunjungi Pejabat RISDA, FELDA, LIGS berhampiran bagi tujuan semakan, permohonan atau pengemaskinian maklumat kelayakan.
Pembayaran kepada penerima yang layak akan dilaksanakan bermula November 2025 secara berperingkat, dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM800 seorang, iaitu sebanyak RM200 sebulan mengikut fasa pembayaran yang ditetapkan.