Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri dibayar pada 13 Mac ini

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri akan dibayar pada 13 Mac ini

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 kepada penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri akan dibayar pada 13 Mac ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayaran RM500 diberi kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah termasuk lantikan tetap, sementara, kontrak, COS dan pekerja sambilan harian.
  • Bantuan juga meliputi pegawai dalam cuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji.
  • Pesara dan veteran menerima RM250; bantuan dikecualikan cukai dan ditanggung oleh jabatan tempat pegawai berkhidmat.

Ia bertujuan meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

“Bagi pegawai Perkhidmatan Awam Gred 15 dan ke bawah atau setara, bayaran RM500 akan diberikan kepada pegawai lantikan tetap, sementara dan kontrak termasuk Contract of Service (COS) serta Pekerja Sambilan Harian.

“Turut layak menerima bantuan ialah pegawai yang sedang bercuti bergaji penuh, bercuti separuh gaji dan bercuti tanpa gaji,” menurut surat edaran di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam, hari ini.

Bantuan tersebut turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen dengan bayaran sebanyak RM250.

Pemberian BKK tersebut dikecualikan daripada cukai pendapatan dan menjadi tanggungan jabatan di mana pegawai berkhidmat pada tarikh pembayaran tersebut.