KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Peruntukan sebanyak RM30 juta daripada keseluruhan RM60 juta bantuan khas daripada Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) kepada pesawah yang layak telah disalurkan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata agihan fasa pertama dan kedua melibatkan pesawah di Pantai Timur dan lima negeri termasuk Kedah dan Perlis.
Beliau berkata, penyaluran bantuan bagi pesawah di Perak dan negeri-negeri lain akan dilaksanakan pada peringkat seterusnya.
"Penyaluran pertama sebanyak RM10 juta telah disalurkankepada KPKM untuk diagihkan kepada tiga buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala penyaluran kedua sebanyak RM20 juta adalah untuk diagihkan kepada pesawah di lima buah negeri iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.
Tambah Chan, pemberian bantuan khas sebanyak RM250 kepada setiap pesawah itu akan diperluas ke negeri lain dalam masa terdekat.