fb fb fb fb fb

Bantuan Kasih Rahmah ringankan beban ibu bapa

PORT DICKSON, 8 Mac- Usaha mencapai sasaran miskin tegar sifar, kerajaan Negeri Sembilan menyantuni 355 pelajar dari seluruh negeri dengan menyampaikan Bantuan Kasih Rahmah: Kembali ke Sekolah Tahun 2023.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, ia melibatkan 231 Ketua Isi Rumah yang menerima bantuan berupa sumbangan pembukaan akaun Simpanaan SSPN bernilai RM100 dan beg sekolah sumbangan PTPTN bagi setiap pelajar.

"Ini merupakan satu perkara yang baik. Mungkin boleh ditambah bilangan aktiviti tersebut untuk kita tingkatkan lagi tahap pendapatan. Kita sedia maklum banyak juga agensi yang membantu tapi perkara-perkara ini harus disusun supaya dia berterusan dan sentiasa mendapat pengawalan dan seliaan yang baik dan dari semasa ke semasa.

"Kita dapat bantu mereka supaya mereka dapat keluar daripada miskin tegar dan miskin di Negeri Sembilan ini," kata Aminuddin ketika ditemui media dalam Program Bantuan Kasih Rahmah Negeri Sembilan di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini.

Bantuan Kasih Rahmah merangkumi Program Kasih Rahmah Kembali ke Sekolah Tahun 2023, program Bakul Kasih Rahmah dan Program uKASIH.

(Datuk Seri Aminuddin berkata bantuan Kasih Rahmah ringankan beban ibu bapa)

Penerima bantuan gembira dengan sumbangan yang diberikan dan menyatakan ia dapat meringankan beban perbelanjaan.

"Bersyukur hari ini mendapat bantuan mesin boleh alih dan mesin jahit tepi yang disumbangkan uKasih. Menyenangkan kerja isteri saya tidak payah lagi hantar jahit tepi ke rumah tetangga sebab sekarang pun sudah mahal jahit tepi," ujar penerima bantuan, Ahmad Shukri Sudinan.

"Dapat beg dapat duit, duit tu nak beli baju sekolah, barang-barang sekolah lain. Seronok dapat hadiah," kata seorang lagi penerima bantuan, Nur Kamilia Najwa Fakhri Azmi.

"Seronok dapat beg dapat duit. Duit tu nanti hendak beli baju, seluar, kasut, stoking. Dapat beg baharu saya rasa lagi semangat hendak pergi sekolah," kata pelajar sekolah, Adam Daniel Fakhri Azmi.

"Banyak jugaklah orang kata dapat membantu persekolahan anak saya. Nanti masuk sekolah menengah kira banyak juga hendak menggunakan wang," kata seorang ibu, Jamilah Mohd Sharif.

Media Baharu