GUA MUSANG, 20 Februari - Program pengujian alternatif secara calitan menggunakan kit khas atau ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) secara percuma, membantu wanita kumpulan B40 melakukan pemeriksaan bagi mencegah kanser pangkal rahim.
Pengerusi Yayasan ROSE (Removing Obstacles to Cervical ScrEening), Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, sehingga kini lebih 15,000 wanita di seluruh negara telah melakukan ujian itu.
“Berikutan itu, kami mengharapkan penglibatan daripada lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dalam program ini bagi membantu menghapuskan kanser ketiga yang paling banyak dihidapi wanita Malaysia.
“Malaysia merupakan salah satu negara di rantau ini yang memperluas vaksinasi HPV dalam kalangan kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun ke atas. Jadi, marilah kita bersama-sama membuat saringan awal agar dapat menghapuskan kanser serviks di negara ini,” katanya.
Sementara itu, rata-rata wanita di Gua Musang, menyambut baik program berkenaan.
"Kita buat sendiri tiada orang tengok, kalau sebelum ini kalau 'pap smear' kita terpaksa ke klinik atau pusat perancang untuk lakukan ujian. Jadi mungkin itu bagi saya kita rasa segan sebab orang lain yang akan lakukan ujian bagi pihak kita," kata Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Gua Musang, May Soluman.
"Program ROSE saringan HPV ini dapat memanfaatkan ramai penduduk setempat. Kalau kita hendak buat program tersebut di luar, kos dia mencecah RM250. Hari ini dibawa percuma oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama semua NGO di Gua Musang untuk menjayakan program tersebut," ujar Pengerusi Kelab Jalinan Ikatan Kasih Gua Musang, Shamsina Ahmad Kamal.
Program ROSE mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan dan syarikat insurans Etiqa.