fb fb fb fb fb

Perbezaan fahaman politik tidak halang matlamat penubuhan komuniti Keluarga Malaysia

FOTO BERNAMA

KLUANG, 19 Februari - Perbezaan fahaman politik, tidak akan menghalang matlamat penubuhan komuniti Keluarga Malaysia dalam menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan
selain memupuk perpaduan antara komuniti setempat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata proses Pilihan Raya seperti yang akan berlangsung di Johor hanya bersifat sementara.

Namun katanya, proses menjayakan Komuniti Keluarga Malaysia merupakan satu misi untuk jangka masa yang panjang.

"Pilihan Raya ini hanya berlaku dalam tempoh 14 hari sahaja, lepas 14 hari kena bekerjasama semula sebagai satu masyarakat dan agenda membangunkan kerajaan harus diteruskan.

"Jadi saya nampak ada peranan yang lebih besar dan seharusnya melangkaui fahaman kepartian," katanya selepas majlis penyerahan watikah penubuhan komuniti Keluarga Malaysia Zon Tengah, di sini.

Dalam pada itu, mengenai ruang kepada calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15, Annuar berkata media rasmi kerajaan boleh menjadi medium bagi memperkenalkan calon kepada orang ramai.

"Namun ia harus tidak bercanggah dengan peranan sebenar media rasmi kerajaan ketika ini," katanya.

Tambahnya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh memberikan ruang terutama kepada calon pembangkang yang baharu untuk memperkenalkan diri mereka menerusi saluran sedia ada.

Media Baharu