fb fb fb fb fb

Bank Islam dianugerahkan pensijilan ISO 37001

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Bank Islam Malaysia Berhad telah memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) ISO 37001 daripada ABAC Centre of Excellence Sdn Bhd (ABAC), menjadikannya institusi kewangan Islam lengkap pertama di Malaysia yang dianugerahkan akreditasi berprestij ini.

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar, menerima akreditasi tersebut pada majlis pensijilan yang diadakan di Menara Bank Islam hari ini daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ABAC, Zafar Anjum.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pensijilan ISO 37001 mengiktiraf amalan antirasuah dan merupakan satu pengisytiharan komitmen toleransi sifar institusi perbankan berkenaan terhadap amalan rasuah dan penyelewengan.

"Ini menunjukkan komitmen, menzahirkan komitmen daripada pihak lembaga pengarah sehingga ke pengurusan Bank Islam dalam menekankan aspek-aspek integriti tadbir urus yang baik.

"Jadi, saya juga di sini ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya yang telah berusaha selama lapan bulan, untuk membuat persediaan sehingga mendapat pensijilan ini yang menjadikan Bank Islam sebagai Bank Islam yang pertama di Malaysia untuk mendapat pensijilan ISO 37001 ini," katanya ketika ditemui media RTM di sini.


(Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed)

Pensijilan ini menetapkan piawaian baharu dalam industri dan meletakkan Bank Islam sebagai sebuah organisasi yang beretika dan bertanggungjawab.

"Pensijilan ISO 37001 memberi keyakinan kepada pengurusan, kakitangan, pelanggan dan pemegang kepentingan lain bahawa Bank Islam telah mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah rasuah. Ia juga meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi dalam menguruskan risiko berkaitan rasuah.

"Dengan adanya pensijilan ini, kami percaya pelanggan, rakan perniagaan dan pemegang kepentingan lain akan terus meletakkan kepercayaan mereka kepada Bank Islam dalam menguruskan kepentingan mereka," katanya.

ISO 37001 adalah piawaian antarabangsa yang menentukan keperluan dan menyediakan panduan bagi mewujud dan melaksana, menyelenggara, menyemak dan menambah baik sistem pengurusan antirasuah.

Menurut Mohd Muazzam, Bank Islam sentiasa berusaha untuk mengukuhkan integriti dengan mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan.

"Kami telah melaksanakan beberapa langkah dan polisi kritikal untuk mendapatkan pensijilan ISO 37001 ABMS. Ia termasuk melaksanakan Garis Panduan ABMS yang berfungsi sebagai satu dokumen dalaman yang mengesahkan bahawa prosedur yang dicatatkan memenuhi keperluan Piawaian ISO 37001 ABMS.

"Akreditasi ini juga melengkapkan usaha Bank dalam memastikan kod tatalaku yang ketat, tadbir urus yang baik dan integriti yang tinggi,” jelasnya.

Pada Julai 2022, Bank Islam melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022-2025 sulungnya.

Bank ini juga memperkenalkan Polisi Antirasuah dan Penyelewengan Kumpulan pada 2021 yang menggariskan peranan dan tanggungjawab kakitangan dalam menegakkan nilai-nilai asas integriti, ketelusan dan kebertanggungjawapan secara konsisten dalam segenap operasinya.

Media Baharu