fb fb fb fb fb

Bank idea, galak penyertaan masyarakat ke arah penambahbaikan pentadbiran Islam

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Januari- Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang idea demi memperkasa pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam serta dakwah menerusi bank idea.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata inisiatif bank idea adalah bertujuan memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan cadangan, pandangan dan juga idea berkenaan hal ehwal agama dan isu-isu berkaitan Islam.

"Bank idea ini adalah untuk mendemokrasikan idea meliputi semua lapisan masyarakat, pemegang taruh tanpa mengira umur, kerjaya dan latar belakang. Semua boleh memberikan idea-idea. Kami telah sediakan dalam bentuk kod QR, hanya perlu imbas atau pun boleh terus ke laman sesawang untuk anda kongsikan sebarang idea dan saranan dalam memperkukuh lagi pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam termasuk kerja dakwah."

"Selain itu, kami juga telah letakkan 10 fokus dan pemberi idea boleh memasukkan fokus-fokus lain yang dilihat penting. Semua rakyat Malaysia berhak dan mempunyai peluang untuk mengutarakan idea dan pandangan mereka," kata Dr. Zulkifli Hassan kepada pemberita pada majlis penyerahan watikah pelantikan jawatankuasa Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Nadwah Ulama Dan Ilmuwan Yadim (NUIM), Majlis Wanita Islam Malaysia Yadim (MAWIM), di sini.

Bank idea yang didatangkan dalam bentuk Google Form dan kod QR menerusi portal Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan ditapis dan dinilai terlebih dahulu untuk mencari yang terbaik sebelum idea tersebut dilaksanakan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM