SEREMBAN, 24 Januari- Waris kepada kakitangan Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Allahyarham Khairul Anuar Kasim, 56 tahun, yang meninggal dunia pada 20 Januari lalu, layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Allahyarham Khairul Anuar yang juga orang berinsurans (OB) merupakan pekerja berstatus kontrak di RTM Kuala Lumpur sebagai Penyelaras Pentas Unit Reka Bentuk.
Menurut Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Sembilan Rosimah Arsah, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Kurniati Sarmin, 58, dan seorang anak perempuan, Nur Anisah, 24 tahun.
Isteri arwah juga menghidap kencing manis serta darah tinggi dan tidak lagi bekerja sejak dimasukkan ke hospital.
Justeru, waris Allahyarham layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak RM700 hingga RM800 sebulan serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.
"Anak perempuannya sedang menjalani latihan praktikal di ibu negara kerap pulang bagi menjaga kedua ibu bapanya di rumah.
"Selain itu waris atau isteri kepada orang berinsuran melainkan anaknya yang telah melebihi had umur untuk turut menerima faedah orang tanggungan yang kita panggil faedah orang tanggungan (FOT) jumlah pembayaran dan anggaran RM500 ke RM800 setiap bulan," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan Suhana Suratman, turut menghargai sumbangan yang diterima waris Allahyarham daripada Perkeso yang sedikit sebanyak dapat membantu kehidupan mereka seharian.
"Kita rasa bersyukur kerana arwah merupakan salah seorang pencarum Perkeso dan kita bersama-sama pihak Perkeso menyampaikan manfaat kematian arwah untuk waris .
"Alhamdulillah dengan caruman sepanjang hayat, manfaat ini telah pun dapat diserahkan kepada waris. Waris akan menerima wang saraan bulanan yang telah ditentukan oleh Perkeso. Kita harap faedah yang diterima setiap bulan ini dapat membantu sara hidup keluarga ini," katanya.