fb fb fb fb fb

Banjir tiga negeri, jumlah penduduk terjejas kekal 289 orang

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Januari- Keadaan banjir di beberapa kawasan di tiga negeri tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila jumlah penduduk terjejas yang berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) kekal 289 orang, setakat 6 pagi tadi.

Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan di Johor, tiga PPS iaitu dua di Segamat dan sebuah di Batu Pahat masih aktif dengan menempatkan 80 penduduk daripada 22 keluarga.

Di Pahang, seramai 110 mangsa daripada 36 keluarga berlindung di dua PPS di Rompin manakala di Sabah, dua PSS juga masih beroperasi di Beluran yang menempatkan 99 orang daripada 42 keluarga.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati, enam sungai berada pada paras bahaya melibatkan lima buah negeri.

Sungai yang terlibat ialah Sungai Johor, Kota Tinggi dan Sungai Muar, Segamat di Johor, Sungai Kedah, Kota Setar (Kedah), Sungai Arau, Arau (Perlis), Sungai Klang, Klang (Selangor) dan Sungai Terengganu, Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan terdapat 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang, Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; dan Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE