fb fb fb fb fb

Gagal kemuka penyata cukai SST, tiga individu mengaku bersalah

Foto Fail

SEREMBAN, 18 Januari- Tiga individu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan gagal mengemukakan penyata cukai perkhidmatan (SST).

Orang Kena Cukai (OKC), Hanis Syamimi Haruddin, 33 tahun, Hidayati Ab Majid, 57 tahun yang merupakan pemilik syarikat serta akauntannya, Massdzita Salleh, 33 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Mengikut kertas pertuduhan, OKC telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(6)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang dibaca bersama Seksyen 78 (1)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Mereka didapati gagal mengemukakan penyata SST02 bagi tempoh bercukai iaitu 1 Januari 2023 hingga 28 Februari 2023 bagi pertuduhan pertama, 1 Mac 2023 hingga 30 April 2023 bagi pertuduhan kedua, 1 Mei 2023 hingga 30 Jun 2023 bagi pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat pada tarikh 1 Julai 2023 hingga 31 Ogos 2023 kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM500 bagi setiap pertuduhan kepada syarikat terbabit manakala ketiga-tiga OKC dikenakan denda RM500 atau 10 hari penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

JKDM diwakili pegawai pendakwa, Muhammad Aidil Azeman dan OKS diwakili peguam bela, Datuk Eddin Syazlee Shith.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM