fb fb fb fb fb

Banjir Terengganu dan Kelantan dijangka bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 25 Februari - Banjir diramalkan melanda Terengganu dan Kelantan secara berperingkat hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS), di Terengganu banjir dijangka bermula pukul 2.00 petang.

Kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Besut (daerah Besut), Lembangan Sungai Kemaman (daerah Kemaman), Lembangan Sungai Setiu (daerah Setiu), Lembangan Sungai Terengganu (daerah Hulu Terengganu) dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

"Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PublicInfoBanjir dan Twitter@JPS_InfoBanjir," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) menerusi kenyataan media memaklumkan, banjir diramalkan berlaku di Kelantan bermula tengah hari.

Kawasan dijangka terlibat ialah Kg. Renab, Kg. Kajang, Kg. Padang dan kawasan rendah sekitar daerah Tanah Merah atau kawasan berhampiran Sungai Golok.

"Banjir juga diramalkan berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah Kuala Krai iaitu di Kg. Dabong dan Kg. Kemubu atau kawasan rendah berhampiran Sungai Galas bermula 8.00 malam ini.

"Manakala di kawasan berhampiran Sg. Lebir pula melibatkan Kg. Mesek, Kg. Tualang, Kg. Karangan, Kg Manek Urai dan kawasan berhampiran Sg. Nal, Sg. Durian dan Sg. Pahi melibatkan kawasan Kg. Bedal, Kg. Gatal, Bukit Sireh dan kawasan sekitarnya," menurut kenyataan itu.

Media Baharu