fb fb fb fb fb

Banjir: Solat hajat malam ini dan esok mohon kesejahteraan negara - JAKIM

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat hajat di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bagi memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir.

Ketua Pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff berkata, program tersebut akan diadakan serentak mulai malam ini dan selepas solat Jumaat esok.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi pengimarahan masjid dan sama-sama menyertai solat hajat tersebut, di samping menghulurkan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir sebagai tanda solidariti.

"Tiga buah masjid utama tersebut akan menjalankan kutipan sumbangan derma khusus kepada penduduk terjejas banjir pada Jumaat (esok)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, JAKIM juga memohon kerjasama Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk sama-sama mengadakan program munajat, solat hajat dan berdoa supaya negara diselamatkan daripada musibah banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA