fb fb fb fb fb

Kerajaan Persekutuan akan terus pantau situasi banjir di Kelantan - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Situasi banjir di seluruh negara termasuk Kelantan akan terus dipantau oleh Kerajaan Persekutuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, agensi di Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sedang bekerjasama rapat bagi memastikan urusan kebajikan penduduk terjejas diberi keutamaan tinggi pada setiap masa.

"Kerajaan Persekutuan akan terus memantau situasi ini dengan rapi dan memastikan penduduk terjejas banjir mendapat tempat berteduh dan berusaha memampan (menyekat) dampak (kesan) buruk musibah banjir," kata Anwar menerusi Facebooknya hari ini.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan hari ini bagi memantau situasi banjir di negeri tersebut.

Pada lawatan itu, Anwar turut diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus,

"Usai tiba di Kota Bharu, Kelantan, saya langsung diberi taklimat ringkas berkaitan perkembangan terkini situasi banjir dan pengoperasian pasukan keselamatan kita.

"Taklimat itu juga memperincikan masalah yang dihadapi, tantangan operasi, status mangsa di pusat pemindahan sementara selain pemberian bantuan kepada yang terkesan dengan bencana banjir," tambahnya.

Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Jambatan Lubok Jong, Pasir Mas, untuk melihat sendiri kesan banjir dan langkah mengatasi masalah itu di kawasan tersebut.

"Dalam lawatan ini juga saya singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Kampung Banggol Manok untuk mendengar sendiri masalah dihadapi penduduk yang ditempatkan di sekolah berkenaan," katanya lagi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA