fb fb fb fb fb

Banjir: ResQ Team UPSI bantu penduduk terjejas di Tumpat

ResQ Team bersama anggota JBPM memindahkan penduduk terjejas banjir/ Foto UPSI

TANJUNG MALIM, I Disember- Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menzahirkan rasa bangga dan terharu terhadap pembabitan Skuad Ihsan Madani dari ResQ Team UPSI yang membantu penduduk terjejas banjir di Tumpat, Kelantan.

“Tindakan pantas dan dedikasi yang ditunjukkan oleh ResQ Team dalam menyediakan bantuan keperluan asas serta menyokong penduduk terjejas banjir adalah sesuatu yang amat membanggakan, selaras dengan hasrat nilai MADANI yang berteraskan ihsan", katanya menerusi satu kenyataan.

Sukarelawan ResQ Team UPSI membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang terjejas di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Muhammad Aqil Aryan Wong selaku ketua misi, seramai 400 penduduk terjejas berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat (4) dengan menggunakan bot ResQ UPSI 40HP dan lori 18 tan.

 

0112 UPSI TEAM2Dr Muhammad Aqil (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir

Beliau berkata, ResQ Team UPSI turut bekerjasama dengan pelbagai badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia Daerah Tumpat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Tumpat untuk memastikan keperluan mangsa banjir dapat dipenuhi dengan segera.

“Misi dimulakan dengan Mesyuarat Penyelarasan Operasi Banjir di IPD Tumpat yang dipengerusikan oleh Supt. Ibrahim Husin, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat dan seterusnya taklimat dan agihan misi oleh Penolong Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Tuan Mohd Rafain Mat Zin, di Balai Bomba Daerah Tumpat”, ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata UPSI terus komited untuk menjadi penyumbang dalam membantu masyarakat, terutamanya dalam situasi bencana, demi kesejahteraan bersama.

Beliau berkata setiap tahun ResQ Team UPSI membantu penduduk terjejas banjir, sejak pasukan itu ditubuhkan pada tahun 2007.

ROSLINA BINTI DIN