PONTIAN, 21 Oktober - Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok, Pontian yang menempatkan 53 penduduk terjejas banjir, ditutup sepenuhnya pada pukul 2.00 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Asman Shah Abd Rahman memaklumkan, kesemua 14 keluarga dari Kampung Makam, Kampung Penerok dan Kampung Parit Bugis, Pontian telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"PPS berkenaan dibuka pada pukul 8.00 malam kelmarin, menempatkan penduduk terjejas di kampung terlibat selepas kediaman mereka dinaiki banjir kilat," katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, cuaca di semua daerah di negeri itu dilaporkan cerah, dan tiada sebarang amaran hujan berterusan atau ribut petir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
