fb fb fb fb fb

Banjir Pitas, tiga PPS masih aktif


KOTA KINABALU, 7 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir di Pitas tidak banyak berubah dengan 313 orang daripada 96 buah keluarga ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) petang ini berbanding 311 orang daripada 97 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan tiga PPS terlibat adalah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II menempatkan 108 orang daripada 41 keluarga, Dewan SK Rukom membabitkan 132 orang daripada 35 keluarga dan Dewan Kampung Kusilad menempatkan 73 orang daripada 20 keluarga.

Semua PPS itu dibuka sejak petang semalam berikutan paras air semakin meningkat di enam kampung iaitu Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu dan Kampung Kusilad.

Cuaca di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di pantai timur Sabah pada petang mendung manakala hujan renyai di kawasan utara Sabah antaranya Paitan dan kawasan tengah Telupid.

Media Baharu