fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di Kedah berlindung di enam PPS

(Foto APM Kedah)

ALOR SETAR, 27 September- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah meningkat daripada 317 orang kepada 603 orang.

Seramai 174 keluarga yang terlibat kini berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat pukul 5.00 petang, satu PPS ditutup iaitu di daerah Kota Setar. Manakala dua PPS dibuka  di daerah Kubang Pasu .

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Mejar (Pertahananan Awam ) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata PPS Dewan Taman Seri Bagan ditutup 1.34 petang berikutan cuaca baik di Kota Setar pagi tadi.

Di daerah Kubang Pasu, PPS baharu yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu.

Pertambahan PPS di Kubang Pasu berikutan air banjir di kawasan hulu mulai turun ke kawasan hilir.


(Antara PPS yang menempatkan penduduk terjejas banjir di Kedah/ APM Kedah)

Seramai 32 orang  daripada 8 keluarga ditempatkan di SK Malau dan 41 orang daripada 14 keluarga di Dewan PPK Lubuk Batu.

Dua lagi PPS di daerah itu yang masih kekal ialah PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun yang dibuka Isnin lalu dengan 113 orang daripada  32 keluarga dan Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang Changlun 22 orang terdiri dari 7 keluarga.

Manakala di daerah Pokok Sena jumlah penduduk yang ditempatkan di PPS SK Bukit Hijau yang dibuka pagi tadi meningkat 75 orang daripada 21 keluarga kepada  297 daripada 82 keluarga.

Manakala di daerah Kota Setar berbaki 1 PPS di SK  Taman Aman dengan 98 orang daripada 31 keluarga.

Sementara itu, APM menjangkakan kemungkinan berlaku 'banjir termenung' di Kedah apabila dijangkakan terjadinya pertembungan air banjir dan air pasang pada Jumaat ini, sekiranya hujan berterusan.

Situasi air pasang akan berlaku pada 29 September sehingga 2  Oktober ini.

Media Baharu