fb fb fb fb fb

Banjir Pahang: Tujuh PPS dibuka setakat ini

(FOTO APM PAHANG)

KUANTAN, 19 Disember- Perkembangan banjir di Pahang menyaksikan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka dengan dua daripadanya di daerah Raub dan lima di daerah Kuantan, menjadikan seramai 658 orang daripada 164 keluarga terjejas setakat jam 12.00 tengah hari tadi.

Di Raub penduduk terjejas banjir terus meningkat menyaksikan dua PPS dibuka dengan keseluruhan penduduk terjejas seramai 50 orang daripada 16 keluarga.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, seramai 40 orang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Pia dan 10 orang ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Ria.

Manakala di Kuantan, lima PPS baru dibuka hari ini menempatkan 608 penduduk terjejas daripada 148 keluarga.

Daripada jumlah itu, 226 orang daripada 50 keluarga ditempatkan di PPS SK Beserah, 109 orang daripada 31 keluarga di PPS SK Sungai Karang, 34 orang daripada 9 keluarga di PPS SK Sungai Ular dan PPS SMK Pelindung pula menempatkan 201 orang daripada 50 keluarga serta PPS SK Pelindung seramai 38 orang daripada lapan keluarga.

Kesemua mereka melibatkan penduduk dari Kampung Darat Beserah, Taman Beserah, Kampung Sungai Karang Darat dan Kampung Sungai Ular.


(FOTO APM PAHANG)

Media Baharu