JERANTUT, 24 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang masih kekal 75 orang melibatkan 19 buah keluarga, setakat pukul 4.00 petang tadi.
Jumlah itu termasuk 12 orang warga emas dan 24 orang kanak-kanak.
Info bencana JKM memaklumkan, kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut yang dibuka sejak pukul 9.00 pagi tadi.
Bencana banjir tersebut kerana hujan lebat berterusan sejak semalam telah menyebabkan sungai Siam melimpah dan mengakibatkan beberapa kediaman penduduk di Kota Gelanggi 1 dinaiki air.
Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi infobanjir Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, setakat pukul 3.30 petang tadi di daerah Jerantut, Sungai Kuala Tahan, Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan berada pada paras amaran.
Manakala Sungai Dong di Kampung Peruas di daerah Raub berada pada paras waspada.