fb fb fb fb fb

Banteras perbuatan 'takfiri' - Perwakilan Amanah

Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Klang

KLANG, 24 Disember- Usul agar pemikiran "takfiri" iaitu tindakan seseorang menuduh orang lain keluar daripada Islam (kafir) diluluskan Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah).

Perkara itu bagi membendung pemikiran tersebut dalam kalangan individu dan parti politik. Ia perlu dibanteras sepenuhnya daripada berleluasa khususnya dalam negara.

Usul berkenaan dibawa oleh perwakilan Amanah Kawasan Kubang Pasu Asri Bahrom diterima sebulat suara pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 yang berlangsung di sini.

Dalam konvensyen itu, Asri mengemukakan empat langkah untuk menangani pemikiran berkenaan hingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Empat langkah itu antaranya termasuk menggesa kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan agar mengambil tindakan tegas dan keras terhadap individu atau parti politik yang secara terang-terangan menyebarkan serta membawa fahaman takfiri.

Semasa sesi perbahasan, perwakilan Kuala Pilah Khairul Azidi turut mencadangkan agar Perintah Kawalan Politik (PKP) dilaksanakan terhadap pihak-pihak yang membawa pemikiran takfiri.

Tindakan itu dapat menghalang pemikiran tersebut seterusnya memelihara kesucian agama Islam.

Wakil Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) Soraya Salim ketika perbahasan usul itu pula mahu kerajaan segera membentangkan Rang Undang-Undang Antikebencian Kaum dan Agama yang tertangguh bagi membendung fahaman takfiri dan ekstremisme di dalam negara yang majmuk.

Tiga usul lain turut diluluskan di peringkat perwakilan iaitu menyarankan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan proses persempadanan semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-undang Profesion Pekerja Sosial dan solidariti bersama rakyat Palestin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI