fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Baling, dua PPS dibuka

(FOTO HIASAN)

ALOR SETAR, 22 September - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan menempatkan 102 penduduk yang terdiri daripada 33 keluarga, ekoran banjir kilat di daerah Baling, malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam satu kenyataan berkata dua PPS tersebut ialah Masjid Islahiyah Tawar dan Masjid Binjul Luar.

"PPS Masjid Islahiyah Tawar yang dibuka pada pukul 11.00 malam menempatkan 91 penduduk terjejas banjir daripada 31 keluarga, manakala PPS Masjid Binjul Luar yang dibuka pada 12 tengah malam itu pula menempatkan 11 penduduk terjejas banjir daripada dua keluarga.

"Kesemua dipindahkan ke dua PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat yang berlaku di sekitar Baling sejak petang, semalam," katanya.

Menurut beliau hujan lebat itu juga telah menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke tebing di Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi.

Bacaan paras air sungai berkenaan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Stesen Sungai Ketil di Kampung Kuala Pegang menunjukkan melebihi paras bahaya iaitu 36.19 meter setakat 8 malam tadi.

Beliau melaporkan kesemua penduduk terjejas banjir yang dipindahkan berada dalam keadaan selamat dan sedang dipantau oleh agensi yang terlibat serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu