BANDAR BAHARU, 6 Mac- Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan beberapa kawasan di Mukim Serdang, Bandar Baharu, Kedah, dilanda banjir kilat.
Bagaimanapun setakat malam ini, tiada penduduk yang dipindahkah ke Pusat Pemindahan Sementara, PPS.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (Pertahanan Awam) Abdul Rahim Khairuddin berkata setakat pukul 9 malam ini, empat buah rumah di Kampung Sungai Punti, Mukim Serdang telah dinaiki air.
Katanya, hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan air Sungai Punti melimpah dan memasuki rumah penduduk yang terletak di kawasan rendah.
Bagaimanapun kesemua penghuni rumah terlibat kekal berada di rumah masing-masing.
Beberapa batang jalan turut ditenggelami air.
Beliau berkata, walaupun hujan telah berhenti, namun paras air Sungai Punti masih berada pada paras bahaya.
Pihaknya melakukan pemantauan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan yang berpotensi dilanda banjir.
(Banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat selama beberapa jam turut menyebabkan beberapa batang jalan ditenggelami air)