JELEBU, 20 Februari- Seramai 84 penduduk daripada 27 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Jelebu susulan banjir kilat yang melanda daerah itu pada Selasa lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Leftenan (PA) Mohd Najib Abdul Karim memaklumkan banjir kilat itu berpunca daripada limpahan air sungai berhampiran serta masalah sistem perparitan.
Bagaimanapun, jumlah penduduk di PPS menunjukkan penurunan berikutan keadaan cuaca yang baik dan paras air semakin surut.
"Sebahagian penduduk telah pulang ke rumah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir. Pasukan penyelamat turut mendapat bantuan daripada skuad Madani yang terdiri daripada penjawat awam di Negeri Sembilan bagi melancarkan operasi pembersihan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Jelebu, Sairien Juhaini memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan asas kepada penduduk di PPS termasuk toto, selimut, kit kebersihan, serta kit makanan.
Salah seorang penduduk terjejas, Rahmat Abd Rahman, 54, dari Taman Bandar Tinggi, Kuala Klawang berkata banjir berlaku selepas hujan lebat bermula sekitar pukul 11.00 malam sebelum air naik mendadak ke kawasan rumahnya.
"Saya dengar bunyi air deras sekitar pukul 12.00 tengah malam, tidak lama kemudian air melimpah dengan laju. Pasukan penyelamat tiba tidak lama selepas itu dan kami segera berpindah," katanya.
Seorang lagi penduduk terjejas, Haszatulsyahera Radzon, 40, dari Kampung Sepri turut berkongsi pengalaman sama dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk berpindah lebih awal.
"Hujan lebat menyebabkan paras air sungai berhampiran naik dengan cepat. Saya dan keluarga segera keluar apabila air mula mencecah paras lutut kerana tiga tahun lalu kami pernah mengalami banjir lebih teruk sehingga paras dada," katanya.