fb fb fb fb fb

Syahadah 2025: Mengupas keunikan Islam di Borneo & Uzbekistan

Syahadah, bakal bersiaran sepanjang Ramadan ini dengan pendekatan lebih segar menerusi tema Panggilan Borneo dan Jelajah Uzbekistan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Februari – Dokumentari sejarah keislaman, Syahadah, bakal bersiaran sepanjang Ramadan ini dengan pendekatan lebih segar menerusi tema Panggilan Borneo dan Jelajah Uzbekistan.

Program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV (UMD), Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu dijadualkan bersiaran bermula 2 Mac ini.

Menurut Penolong Pengarahnya, Hisyamudin Ahmad pemilihan tema tersebut mengetengahkan kupasan mengenai penghijrahan komuniti Islam di Sabah dan Sarawak serta keunikan Islam di Uzbekistan sebagai intipati utama musim ini.

"Kita letakkan konsep 'Jelajah' kerana ia lebih sesuai dengan bentuk travelog. Kandungan di Uzbekistan lebih menumpukan kepada aspek bangunan, ekonomi dan elemen fizikal, manakala di lokasi tempatan kita melihat isu semasa, peristiwa yang berlaku serta kisah-kisah kecil yang diangkat sebagai kelainan untuk siaran 2025," katanya kepada pemberita selepas sesi pratonton Syahadah 2025 di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Edisi ke-19 Syahadah kali ini menampilkan tujuh penerbit yang dibahagikan mengikut zon terpilih di Sabah dan Sarawak dengan 20 episod, manakala Jelajah Uzbekistan akan mengetengahkan 10 episod khas merangkumi bandar Taskent, Bukhara, dan Samarkand.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN