fb fb fb fb fb

Banjir Kemaman: 1,511 penduduk terjejas dipindahkan ke 14 PPS

Banjir Kemaman / Foto RTM

KEMAMAN, 28 November – Gelombang pertama banjir di daerah Kemaman bertambah buruk dengan pertambahan penduduk iaitu seramai 1511 daripada 407 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 12.00 pagi tadi.
 
Kesemua penduduk terjejas kini ditempatkan di 14 buah PPS di seluruh daerah berkenaan dan berdasarkan keadaan hujan masih berterusan, berkemungkinan akan berlaku pertambahan penduduk.
  
Tinjauan RTM di PPS, Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, di sini, sehingga pukul 11.00 pagi tadi, terdapat kira-kira 800 penduduk terjejas berada di PPS berkenaan ekoran paras air yang semakin naik.
 
Beberapa penduduk yang ditemui berkata, air banjir kali ini naik terlalu deras sehingga memaksa mereka membuat persiapan dalam mangsa yang singkat untuk berpindah ke PPS yang berdekatan.
 
Menurut seorang penduduk terjejas, Mek Tam Abu Bakar, banjir kali ini naik pada awal pagi dan mereka empat beranak terpaksa berpindah dengan membawa beberapa keperluan peribadi. 

"Semalam air mula naik dalam daerah kira-kira pukul 4 petang. Saya dan tiga beranak terpaksa berhadapan dengan air yang setinggi sekerat lutut.

"Sekarang keadaan sudah ok, makan minum pun tersedia, nasi, air, biskut dan air putih semuanya mencukupi," katanya.
 
Seorang lagi penduduk Noreha Mustaffa berkata, air banjir mula naik kira-kira pukul tiga pagi dan mereka sekeluarga telah diarahkan pihak berkuasa supaya membuat persiapan segera untuk berpindah ke PPS.

“Semalam air mula naik kira-kira pukul tiga petang. Saya kemas-kemas barang apa yang ada dan pada mulanya ingatkan air akan surut.

"Namun, pada waktu malam air semakin naik. Kemudian polis menghubungi saya bertanyakan sama ada ingin dipindahkan. Apabila lihat air terus meningkat, saya membuat keputusan untuk pindah terus ke sekolah,” katanya.
 
Menurut penduduk lain, Maimun Wahab, air banjir yang naik pukul 3.00 pagi dan masuk ke dalam rumah hampir paras lutut dan mnereka membuat Keputusan untuk berpindah ke PPS dengan bantuan agensi berkaitan.

“Sebab tadi saya tengok air dah mula naik. Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur. Ada tempat untuk pindah dan duduk di sini, layanan pun istimewa. Syukur, Alhamdulillah, maknanya ada yang ambil peduli.”
 
Seorang lagi penduduk Mohd Khairuddin Ahmad, beliau amat berpuashati dengan segala persiapan yang ada di PPS berkenaan dan menjangkakan lebih ramai lagi akan berpindah ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu. 

“Alhamdulillah, pada ketika ini makanan pagi serta persiapan oleh pengurusan PPS berada dalam keadaan cukup sempurna, bersedia untuk menampung kemasukan lebih ramai mangsa banjir," katanya.
 
Serorang pesakit orang kelainan Upaya (OKU) Zainal Kamaruddin berkata, beliau amat berpuas hati dengan keadaan di PPS tersebut dan menjangkakan akan berada di situ untuk dua tiga hari lagi sebelum keadaan banjir reda. 

“Alhamdulillah, sebelum ini tidur atas lantai, tapi hari ini sudah boleh tidur atas katil. Makanan pun Alhamdulillah, selesa. Syukur, Alhamdulillah," katanya.
 
Sementara itu, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, beliau akan sentiasa memantau keperluan di setiap PPS bagi memastikan keselesaan penduduk terlibat dan sehingga kini SK Kemasik mencatatkan kira-kira 800 penduduk terkesan.

“Sekarang ini di Kampung Baru Kemasik, keseluruhannya hampir 800 orang sudah terlibat. Kapasiti sekolah ini terhad, jadi memang perlu tempat baharu. Alhamdulillah, bekalan makanan berada dalam keadaan terkawal," ujarnya.

Tinjauan RTM ke PPS berkenaan pagi tadi mendapati, kesemua penduduk terbabit mula dipindahkan sejak awal pukul 3.00 pagi dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN