(FOTO FB APM Beaufort)
KUALA LUMPUR, 27 September- Seramai 399 orang penduduk daripada 126 keluarga terjejas banjir dicatatkan di enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) bagi negeri Kedah, Perlis dan Sabah, setakat pukul 6.00 pagi tadi.
Kedah merekodkan sedikit peningkatan penduduk terjejas, manakala Perlis mencatatkan penurunan, sementara Sabah kekal seramai 134 penduduk daripada 46 keluarga dari daerah Beaufort, ditempatkan di PPS Dewan Selagon sejak tengah malam tadi.
Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merekodkan dua daerah terjejas di Kedah iaitu Kubang Pasu dan Kota Setar melibatkan seramai 230 penduduk daripada 70 keluarga.
Mereka dipindahkan ke empat buah PPS, berbanding 228 penduduk daripada 69 keluarga di tiga buah PPS pada pukul 12.00 tengah malam tadi.
Setakat pukul 6.00 pagi tadi, seramai 150 penduduk daripada 43 keluarga berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlon dan 38 penduduk daripada 12 keluarga di Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang direkodkan bagi daerah Kubang Pasu, manakala 40 penduduk daripada 14 keluarga di PPS Dewan Taman Seri Bagan dan dua penduduk daripada sebuah keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman bagi daerah Kota Setar.
PPS SK Taman Aman merupakan PPS baharu dibuka setakat pagi tadi.
Sementara di Perlis, seramai 35 penduduk daripada 10 keluarga di daerah Arau berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, berbanding 38 penduduk daripada 11 keluarga di PPS sama pada pukul 12.00 tengah malam tadi.
(FOTO FB APM KOTA SETAR Pages)