KUALA LUMPUR, 27 September - Selepas dibahas oleh 44 Ahli Dewan Negara, diikuti penggulungan oleh 26 kementerian, usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) diluluskan dalam mesyuarat Khas Dewan Negara pada Selasa dengan lebih suara bersetuju.
Usul KSP RMKe-12 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu di Dewan Rakyat dengan bermatlamatkan ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’.

Kajian Separuh Penggal RMKe12 dengan 17 anjakan besar menjadi pemangkin utama menerusi 71 strategi itu merupakan jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat, sekali gus memaknai semangat Malaysia Madani.
Ia juga menjadi dokumen dasar bagi memacu dan melonjak pembangunan negara dengan mengangkat darjat serta memperkasa rakyat.
Pada 19 September lalu, usul sama diluluskan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dengan suara majoriti.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan sidang berkata mesyuarat Dewan Negara ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.