
PENDANG, 26 Oktober – Lebih 200 penduduk di daerah Yan, Kuala Muda dan Pendang dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
- APM Negeri Kedah menyalurkan Kit Makanan Permulaan kepada Ketua Isi Rumah berdaftar di PPS.
- Pengarah APM Lt. Kol. Mohd Bukhori membuat tinjauan dan menyampaikan sumbangan di PPS Yan dan Pendang.
- PPS yang dilawati termasuk Sekolah Kebangsaan Teroi, SJK(C) Pei Eng dan Dewan KEDA Tanjung Setol.
- APM akan terus memantau dan bersiap siaga; penduduk diminta berwaspada, pantau cuaca dan paras air serta patuhi arahan pihak berkuasa.
Bagi membantu mangsa terjejas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah menyalurkan Kit Makanan Permulaan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar di PPS di tiga daerah berkenaan.
Pengarah APM Negeri Kedah, Lt. Kol. (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik menyampaikan sumbangan itu ketika melakukan tinjauan ke beberapa PPS di daerah Yan dan Pendang.
PPS yang dilawati ialah Sekolah Kebangsaan Teroi dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Eng di Yan serta Dewan KEDA Tanjung Setol di Pendang, yang dibuka pada 7 malam semalam.
Lawatan itu bertujuan menyantuni petugas serta penduduk yang terjejas banjir dan ditempatkan di PPS berkenaan.
APM Kedah akan terus memantau perkembangan situasi dari semasa ke semasa dan bersiap siaga mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas terpelihara.
Penduduk, khususnya di kawasan berisiko banjir, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau perubahan cuaca dan paras air serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Mereka juga diingatkan supaya peka terhadap sistem amaran awal bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.