MUAR, 6 Mac- Lebih 50 lokasi jalan rosak dikenal pasti berlaku di Johor akibat banjir.
Ia melibatkan jalan-jalan utama di lapan daerah yang terjejas teruk di negeri itu iaitu Segamat, Mersing, Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan menyegerakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak sebaik air surut.
"Kerja-kerja akan dimulakan sebaik sahaja banjir mula surut dan untuk kerosakan yang biasa, insya-allah tidak mengambil masa lama, mungkin seminggu dua.
"Tapi untuk kerosakan yang membabitkan runtuhan tanah, cerun, jambatan dan sebagainya akan memgambil masa yang lebih lama," katanya.
(Mohamad Fazli Mohamad Salleh)
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Task Force Banjir Negeri Johor, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, pihaknya kini masih mengenal pasti jumlah sebenar infrastruktur terlibat termasuk meneliti kaedah baik pulih sesuai.
Segala kerja baik pulih itu akan melibatkan peruntukan di bawah kerajaan negeri Johor serta Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang dijangka menelan kos RM50 juta.