KUANTAN, 28 November - Empat daerah di Pahang terjejas banjir setakat 8 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin.
Sebanyak 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menempatkan 524 penduduk terjejas daripada 171 keluarga.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, daerah terlibat ialah Kuantan, Raub, Lipis dan Maran.
Di Kuantan, tujuh PPS diaktifkan menempatkan 232 penduduk terjejas, manakala Raub mengaktifkan lapan PPS dengan 202 penduduk.
Manakala di Lipis, empat PPS menempatkan 72 penduduk, sementara Maran membuka dua PPS membabitkan 17 orang.
Dua sungai direkodkan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran serta Sungai Telemong di Bentong.
Sementara itu, dua sungai melebihi paras amaran iaitu Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan, dan Sungai Lipis di Batu Malim, Raub.