KANGAR, 28 November - Lebih 7000 penduduk terjejas banjir di Perlis, berlindung di 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk 10 daripadanya di Parlimen Kangar.
Berikutan situasi tersebut, UMNO Bahagian Kangar menggerakkan jenteranya bagi menyerahkan 300 helai selimut 'toto' kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurut Setiausaha UMNO Bahagian Kangar, Sabri Ismail ketika dihubungi RTM, kesemua sumbangan itu disumbangkan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Iniaitif itu sebagai bantuan awal kepada mereka yang terjejas banjir untuk memberikan keselesaan ketika mendapatkan perlindungan.
Bantuan lain akan menyusul dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan rakyat yang terjejas dan akan dilaksanakan UMNO Bahagian Kangar, juga melibatkan jawatankuasa dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan.
"Semua yang terkesan diharap terus bersabar dan sentiasa mematuhi arahan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan bersama," katanya ketika penyerahan sumbangan berkenaan kepada Pengarah JKM Negeri, Ku Chik Ku Mat Isa.
Terdapat juga penduduk yang berlindung di dewan orang ramai, surau, masjid, berpindah ke rumah saudara atau memilih untuk tidak berpindah.