KANGAR, 28 November - Lebih 500 pek makanan dan minuman disalurkan kepada penduduk terjejas banjir di sekitar DUN Sena sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mereka.
Tumpuan diberikan kepada penduduk yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis (PABPs), Areff Affandy Ariffin, berkata ketika ini lebih 7,000 penduduk terjejas banjir di seluruh Perlis, antaranya di kawasan DUN Sena.
"Inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban penduduk terjejas yang berdepan kesukaran akibat bencana berkenaan.
"Ia juga bagi berkongsi rezeki tanpa mengira kaum dan agama atas semangat perpaduan dan berganding bahu untuk menghadapi saat yang sukar ketika ini," katanya.
Program itu dijayakan gabungan 30 sukarelawan Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis, Majlis Mahasiswa Anak Perlis (MARLIS) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Sena.
Ia dilaksanakan hasil sumbangan disalurkan Yang Dipertua Majlis Kebajikan Masyarat Negeri Perlis yang juga Exco Kebajikan Negeri dan ADUN Sena, Marzita Mansor.