PEKAN, 21 Oktober- Sebanyak 1,144 aset melibatkan kenderaan dan jentera pelbagai fungsi daripada 337 balai bomba dan penyelamat telah dilaksanakan pemeriksaan dan pengujian menyeluruh secara serentak pada hari ini melalui Program Monsun Timur Laut (MTL) Log Day.
Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ini merupakan inisiatif strategik dan komprehensif agar sentiasa bersedia daripada segi keanggotaan, logistik serta aset dalam menghadapi bencana terutama banjir.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata kesemua kenderaan tersebut termasuk kenderaan angkut ringan, angkut berat dan marin serta aset udara berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana sekiranya diperlukan.
Menurutnya, sebagai langkah penambahbaikan, JBPM telah menubuhkan 13 Pasukan Gerak Cepat MTL dan dianggotai seramai 15 orang anggota bagi setiap pasukan.
"Pasukan ini memang diwujudkan khusus untuk bertindak apabila ada bantuan diperlukan untuk tugas-tugas banjir ini.
"Ia terdiri daripada anggota yang pelbagai kemahiran yang mempunyai kepakaran-kepakaran berkaitan yang boleh membantu mangsa-mangsa banjir dan begitu juga telah dilengkapkan dengan aset-aset marin dan aset-aset darat.
"Makna kalau ada sahaja mereka ni terus mobilize sahaja. Bergerak dalam tempoh yang singkat lah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Selain itu katanya, kesiapsiagaan anggota juga dilakukan melalui latihan-latihan, malah turut melibatkan agensi-agensi penyelamatan dan komuniti setempat bagi menghadapi MTL tahun ini.
Dalam pada itu seramai 1,051 anggota dan pegawai akan bersiap siaga di Pahang.
Sebanyak 750 lokasi telah dikenal pasti di Pahang sebagai lokasi berisiko banjir.
