fb fb fb fb fb

Banjir di Sarawak dan Sabah, PKOB diarah siap siaga

KUALA LUMPUR, 5 Januari - Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sarawak dan Sabah di peringkat negeri dan daerah diarah bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Ini berikutan ramalam luruan monsun ke-5 oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, arahan tersebut turut merangkumi pengaktifan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memastikan ketersediaan stok bekalan pangkalan hadapan di Sabah dan Sarawak bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di negeri itu.

Sebagai sebahagian daripada kesiapsiagaan juga, PKOB Sarawak perlu menyelaras penyampaian makluman kepada penduduk di kawasan yang berisiko berlaku banjir agar mereka siap siaga jika berlakunya bencana", menurut kenyataan itu.

Kenyataan turut menyebut, sehingga pukul 12 tengah hari tadi tujuh negeri dilaporkan terkesan dengan musibah banjir.

Sebanyak 29 daerah di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah masih terjejas.

"Seramai 13,382 orang penduduk daripada 4,087 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 173 Pusat Pemindahan Sementara, PPS.

Sejumlah 861 PPS telah ditutup di mana 124,360 penduduk terjejas daripada 35,050 KIR telah pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah kumulatif mereka yang terkesan banjir di seluruh negara adalah seramai 138,093 orang daripada 39,188 KIR", jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, operasi banjir seluruh negara melibatkan keanggotaan 17,901 orang anggota agensi responder menggunakan sejumlah 2,917 gabungan aset pelbagai agensi sedang beroperasi.

Bagi edaran bekalan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat 552,372 bungkusan makanan yang disediakan sebanyak 3 kali sehari termasuk keperluan asas kepada penduduk yang terkesan banjir.

Laporan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) sehingga pukul 10 pagi turut memaklumkan secara kumulatif terdapat kejadian bencana di 959 lokasi jalan di 10 negeri sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) merangkumi kejadian banjir (418), banjir kilat (62), cerun runtuh (446), jalan runtuh (23), jalan mendap (5), dan jambatan rosak/runtuh (5).

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula menyatakan terdapat pertambahan 5 kejadian tanah runtuh melibatkan Sabah (3), Kuala Lumpur (1) dan Negeri Sembilan (1) menjadikan jumlah kumulatif sepanjang MTL sebanyak 250 kejadian di seluruh negara.

Sementara itu, setakat semalam sebanyak 90 peratus kawasan di Selangor yang terjejas dengan banjir berjaya dibersihkan.

"Bagi status gerak kerja keseluruhan pelaksanaan operasi pembersihan pasca banjir oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sehingga 4 Januari 2022, sebanyak 90 peratus kawasan di Selangor yang terjejas dengan banjir berjaya dibersihkan di mana 4,308.67 tan sisa banjir telah dibersihkan oleh pasukan pembersihan KDEB Waste Management Sdn. Bhd (KDEBWM) serta kontraktor-kontraktor lain di bawah seliaan SWCorp yang melibatkan 529 buah jentera dan 805 pekerja.

"Daripada jumlah tersebut, SWCorp bersama syarikat konsesi lantikan KPKT telah membantu membuat pembersihan di beberapa lokasi di Selangor dengan melibatkan 79 buah jentera dan 143 orang pekerja dan membersihkan sisa banjir sebanyak 425.68 tan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 82 peratus kawasan di lima negeri ini telah berjaya dibersihkan dengan jumlah sisa sebanyak 7,309.24 tan menggunakan 816 jentera dan 1,174 pekerja.

Penurunan peratusan kerja-kerja pembersihan berbanding 3 Januari 2021 sebanyak 93 peratus adalah disebabkan oleh kawasan baharu dilanda banjir di Melaka dan Negeri Sembilan yang memerlukan pembersihan semula", jelas NADMA.

Media Baharu