fb fb fb fb fb

Banjir di Melaka: 71 keluarga masih berlindung di tiga PPS

Foto RTM

MELAKA, 23 November-Seramai 268  penduduk terjejas banjir daripada 71 keluarga di Melaka masih ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat pukul 4.00 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Melaka  memaklumkan, mereka ditempatkan di tiga PPS di dearah Melaka Tengah.

Tiga PPS itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, Dewan Japerun Pantai Kundor dan SK Taman Bukit Rambai.

Menurut Sekretariat itu, PPS SK Tanjung Minyak 2 merekodkan bilangan penduduk terjejas banjir tertinggi iaitu seramai 181 orang membabitkan 48 buah keluarga.

Manakala PPS SK Taman Bukit Rambai menempatkan 55 penduduk terjejas daripada 15 keluarga dan 32 lagi penduduk terjejas banjir daripada 10 keluarga ditempatkan di Dewan Japerun Pantai Kundor.

Katanya, setakat ini, terdapat lima kawasan masih terjejas banjir iaitu Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk A, Kampung Pantai Kundur dan Taman Rambai Indah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD