fb fb fb fb fb

Banjir di Kulim, 2 PPS dibuka

Hujan lebat selama dua jam bermula pukul 5.00 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kulim dinaiki air/RTM

KULIM, 18 Oktober -Kira-kira 158 penduduk terjejas banjir daripada 45 keluarga di sini, dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Kejadian berpunca daripada hujan lebat selama dua jam bermula pukul 5.00 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, PPS Surau Al-Shahidin, Taman Sang Kancil yang dibuka pukul 8.30 malam tadi menempatkan seramai 143 penduduk termasuk 27 kanak-kanak.
 
"Manakala PPS Dewan Kampung Paya Tok Betok yang dibuka pada pukul 11.00 malam menempatkan seramai 15 penduduk terjejas termasuk seorang bayi perempuan.
 
"Antara kawasan yang terjejas banjir termasuk Kampung Sungai Limau, Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan Kampung Paya Tok Betok," menurut kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF